KONSEP SEKOLAH BESTARI DAN PEMBESTARIAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pengenalan
Kementerian Pelajaran Malaysia telah mula membangunkan konsep Sekolah Bestari pada tahun 1996, di bawah kepimpinan Tan Sri Dato' Dr. Wan Zahid Wan Mohamed, Ketua Pengarah PelajaranMalaysia waktu itu. Sekolah bestari ini mempunyai objektif yang tersendiri iaitu bagi mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, membangunkan tenaga kerja untuk Zaman Maklumat, menghasilkan tenaga kerja yang berfikir dan celik teknologi, membangunkan intelek, rohani, emosi dan jasmani pelajar, mewujudkan peluang bagi meningkatkan kekuatan dan kebolehan individu, meningkatkan penglibatan pihak berkepentingan dan mendemokrasikan pendidikan. (http://www.moe.edu.my:8080/web/guest/informasi/soalan_lazim 15 Januari 2010)
Definisi Sekolah Bestari
Menurut Kamus Dewan, hlm. 1415 edisi keempat, sekolah bermaksud tempat untuk belajar dan mengajar, tempat menerima dan memberi pelajaran, manakala perkataan bestari menerusi halaman 175 memberi maksud cerdas, pandai, berpendidikan, berpegetahuan, berbudi pekerti yang baik, beroperasi dengan berbantukan komputer, teknologi maklumat dan sebagainya. Menerusi penggabungan dua frasa ini sekolah bestari boleh dikatakan sebagai penggunanan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran di insitutusi pembelajaran, ia ini sekolah.
Konsep Sekolah Bestari
Menurut Datuk Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Sekolah Bestari merupakan:
“An exciting development of our education system is the creation of Smart
Schools. Smart schools are being planned in stages nationally, not only to
meet the requirements of the Multimedia Super Corridor, but also to create
a new generation of Malaysians – Malaysians who are more creative and
innovative in their thinking, adopt with new technologies, and able to
access and manage completely the information explosion.”
(Blueprint Projek Rintis Sekolah Bestari, 1998)
Secara mudahnya sekolah bestari Malaysia boleh dikatakan sebagai satu institusi pembelajaran yang direka semula secara sistemik, ia itu sistemik dari segi amalan pengajaran-pembelajaran dan pengurusan sekolah untuk membantu kanak-kanak (pelajar) menghadapi Zaman Teknologi Maklumat. Komponen utama Sekolah Bestari adalah seperti berikut:
· Pengajaran dan Pembelajaran (P&P)
· Sistem Pengurusan Sekolah Bestari
· Polisi
· Sumber Manusia, Kemahiran dan Sikap
· Teknologi
· Proses
Komponen-komponen ini akan dinilai dan diubah untuk memastikan tahap kecekapan dan keberkesanan yang lebih tinggi. ( BTP). Semua ini bertujuan melengkapkan diri individu, ia ini pelajar supaya dapat belajar sepanjang hayat menerusi penggunaan teknologi. Ini kerana maklumat berubah dengan pesat di Zaman Maklumat.
Menerusi pembestarian dalam pengajaran dan pembelajaran akan menyediakan pelajar yang berkeupayaan untuk belajar sepanjang hayat dengan mengembangkan kemahiran generik yang membolehkan pelajar memperoleh, menganalisis, menilai, mentafsir, mensintesis dan menyampai atau menyebar maklumat. Terdapat kemahiran-kemahiran yang perlu dikembangkan menerusi sekolah bestari iaitu kemahiran belajar, kemahiran berfikir, kemahiran mentaksir dan menilai, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi. Peranan yang perlu dimainkan oleh seorang guru adalah sebagai pemudahcara mengembangkan kemahiran tersebut.
Pembestarian dalam pengajaran dan pembalajaran membolehkan seorang guru memahami ciri-ciri pelajarnya dan menggunakan pelbagai pendekatan pembelajaran dan strategi pengajaran dan pembelajaran secara efektif dan berkesan. Jesteru itu, guru sekolah bestari perlu memahami ciri-ciri pelajar menerusi gaya pembelajaran pelajar (Model Dunn dan Dunn : Model VAK), kecerdasan pelbagai pelajar dan kompentensi kecerdasan emosi pelajar. Bagi memastikan perkembangan kemahiran generik pelajar beberapa pendekatan pembelajaran sesuai digunakan antaranya:
· Pembelajaran Berpusatkan Pelajar (Student-Centred Learning)
· Pembelajaran Bersifat Individu (Individualized Learning):
· Pembelajaran Masteri (Mastery Learning)
· Pembelajaran Kadar Kendiri (Self-paced Learning)
· Pembelajaran Akses Kendiri (Self-access Learning)
· Pembelajaran Terarah Kendiri (Self-directed Learning)
· Pembelajaran Berfikrah (Thoughtful Learning)
· Pembelajaran Berbantukan Teknologi (Technology aided learning)
· Pembelajaran Berasaskan Otak (Brain-based Learning)
· Pembelajaran Berasaskan Projek (Project Based Learning)
Manakala strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai bagi memastikan perkembangan kemahiran generik pelajar ini berterusan antaranya:
· Direktif (Directive)
· Pemerhatian (Observation)
· Mediatif (Mediative)
· Generatif (Generative)
· Koperatif dan Kolaboratif (Co-operative and Collaborative)
· Konteks Luar (Outside-Context)
· Metakognitif (Metacognitive)
· Konteksual (Contextual)
· Kajian Masa Depan (Futuristic Studies)
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, pedagogi membawa maksud proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan pengetahuan dari segi teori yang berkaitan dengan pendidikan dan kemahiran pedagogi (Glenn, 2003). Komponen teorikal dan praktikal tentang pedagogi meliputi pengetahuan tentang teori pembelajaran dan reka bentuk, strategi pengukuran dan penilaian, serta perancangan dan reka bentuk rancangan pengajaran. Kemahiran dari segi pemilihan persembahan pengajaran boleh dimasukkan dalam pedagogi. Ciri-ciri pedagogi antaranya:
· Pembelajaran melalui pengalaman-aktiviti berpusatkan pelajar
· Participatif- menggalakkan penglibatan secara aktif
· Kolaboratif- maklumat dikongsi secara bersama
· Mengintegrasikan elemen pembelajaran bestari seperti gaya pembelajaran, kecerdasan pelbagai.
· Berasaskan guru, rangkaian dan perisian – pendekatan, strategi, teknik yang pelbagai.
· Budaya kaya ilmu
· Berfikiran Kritis dan kreatif
· Berpusatkan pelajar:Pembelajaran Masteri, Akses kendiri, Kadar kendiri, Terarah kendiri
· Konteks global
· Penggunaan kemudahan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran
· Pelbagai kaedah dan strategi P&P digunakan seperti stesyen,bersifat individu,berfikrah, inkuiri,kontekstual dan sebagainya.
Tunjang pengajaran dan pembelajaran di Sekolah Bestari ialah pelajar belajar secara terarah kendiri, pada kadar kendiri dan dengan akses kendiri. Pelajar-pelajar bertanggungjawab terhadap apa yang mereka belajar, mereka diberi peluang untuk lebih kritis dan kreatif terhadap apa yang mereka belajar dan di ajar. Tidak ada lagi proses pengajaran secara `spoon feeding' dan tidak ada lagi proses pelajar hanya hafal apa yang diberi oleh guru. Justeru itu pemilihan bahan pengajaran dan pembelajaran yang bersesuian membolehkan para pelajar mengakses pembelajaran secara kendiri dan berterusan.
(http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?dt=0422&pg=st_01.htm&sec=Sains_%26_Teknologi&y=2005 20 Januari 2010)
· Pelbagai disiplin, bertema dan berkesinambungan merentasi bidang pembelajaran
· Mengintegrasikan pengetahuan, kemahiran, nilai, bahasa merentas
· Kurikulum
· Futuristik – menyediakan pelajar untuk menghadapi masa depan
· Developmental – membantu pelajar mencapai perkembangan menyeluruh dan seimbang
· Pelbagai dimensi ilmu, kemahiran dan bersifat global
· Fleksibel – mengikut tahap dan kebolehan pelajar
Akhir bagi sebuah pelaksanaan adalah keberkesanan dan sejauh mana keberkesanaan itu diukur adalah menerusi penilaian dan pentaksiran, begitu juga dengan sekolah bestari diantara ciri bagi penilaian dan pentaksiran bestari bagi sekolah bestari adalah:
· Rujukan kriteria
· Penilaian “on-line”
· Autentik / performance-based
· Fleksibel
· Pentaksiran lebih berbentuk tidak formal, berterusan dan berfungsi sebagai pelengkap kepada proses pengajaran dan pembelajaran
· Fokus pentaksiran ialah untuk mendapat maklumat berkaitan dengan perkembangan pelajar untuk memudahkan tindakan susulan
· Pelbagai alat pentaksiran dan bentuk soalan berdasarkan tujuan pentaksiran dan objektif matapelajaran diutamakan
· Prestasi pelajar dilaporkan menerusi kriteria yang menerangkan tahap pencapaian pelajar.
· Tumpuan pentaksiran ialah perkara atau elemen yang ingin dibentuk dalam diri pelajar menerusi hasrat dan kandungan kurikulum
Sekolah bestari adalah gagasan dari pihak kerajaan yang mahu rakyat khususnya pelajar untuk berlajar sepanjang hayat dan berterusan dan melahirkan pelajar yang berfikiran inovatif, berfikiran kritis dan kreatif. Penggunaan ICT atau Teknologi Maklumat menjadi pemangkin ke arah pembentukan pelajar yang berfikiran begini, Justeru itu bukan sahaja guru berperanan sebagai pengantara bahkan para murid sendiri harus mempunyai minat untuk terus belajar bagi merealisasikan hasrat negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Hasrat pihak kerjaan ini direalasikan dengan penubuhan schoolnet yang berperanan untuk Menyediakan infrastruktur komunikasi bagi melaksanakan program sekolah bestari di semua sekolah-sekolah di Malaysia, merapatkan jurang digital di antara pelajar-pelajar sekolah di bandar dan luar bandar, memoden dan mempertingkat keberkesanan sistem pendidikan negara dan mewujudkan suasana pendidikan interaktif. sebagai serampang dua mata bukan sahaja menyediakan pelajar celik IT malahan pembagunan rohani, jasmani dan sahsiah.
Oleh : Ahmad Aspari, 2010.

No comments:
Post a Comment